Latar Belakang

JAWATANKUASA PERGURUSAN DAN PERKEMBANGAN O&G, KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (JPPOBG)


PENDAHULUAN

Jawatankuasa Pengurusan dan Perkembangan O&G (JPPOBG) adalah  jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengurus dan memacu perkembangan perkhidmatan O&G khususnya perkhidmatan klinikal O&G di hospital-hospital kerajaan di seluruh Malaysia. Lantikan bagi JPPOBG adalah oleh Pengarah Perkembangan Perubatan, selaku penasihat, dan dipengerusikan oleh Ketua Kepakaran O&G KKM. Manakala Timbalan Ketua Perkhidmatan O&G Kebangsaan  pula akan memegang jawatan Timbalan Pengerusi JPPOBG.


OBJEKTIF

Merancang, mengurus dan melaksanakan aktiviti serta program yang bersangkutan dengan perkhidmatan O&G di KKM supaya menjadi perkhidmatan yang berkualiti  tinggi selari dengan objektif kementerian.


TERMA RUJUKAN

Ketua Kepakaran O&G KKM dengan kerjasama daripada ahli JPPOBG akan  membantu Bahagian Perkembangan Perubatan dalam perancangan pembangunan  bidang O&G seperti berikut:

1. Merancang, mengesyorkan dan membantu melaksanakan pembangunan dan halatuju perkhidmatan O&G.

2. Merancang, mengesyorkan dan membantu melaksanakan pembangunan serta halatuju perkhidmatan kepakaran am dan subkepakaran yang berkaitan dengan  bidang O&G di KKM termasuk keperluan infrastruktur selaras dengan keperluan  semasa dan akan datang bagi memastikan kebolehsampainan (accessibility) dan kesaksamaan (equity) perkhidmatan kepakaran/subkepakaran yang disediakan 
oleh KKM di seluruh negara.

3. Merancang keperluan tenaga mahir, infrastruktur dan peralatan bagi memenuhi  keperluan perkhidmatan O&G di hospital/institusi KKM.

4. Merancang dan mengesyorkan keperluan latihan serta memantau pelaksanaan  program latihan kakitangan O&G termasuk menjalankan kajian selari dengan  perkembangan perkhidmatan O&G. Ini termasuk koleberasi dengan institusi pengajian tinggi dan lain-lain institusi Pendidikan di dalam menghasilkan pakar-pakar O&G yang bermutu tinggi.

5. Menjaga kebajikan pengamal perubatan O&G termasuk urusan penempatan, kemajuan kerjaya dan juga kenaikan pangkat.

6. Merangka dan melaksanakan aktiviti-aktiviti bagi mencapai sasaran indikator kualiti perkhidmatan O&G (contoh: Kadar Kematian Ibu, Kadar Kematian Perinatal, Pelan Tindakan Perubatan, KPI, SDG, dan lain-lain).

7. Membantu mengekalkan status hospital rakan bayi di semua hospital KKM.

8. Merangka strategi mengurangkan implikasi medico-legal yang berkaitan dengan O&G.



AHLI-AHLI JAWATANKUASA

Ahli-ahli jawatankuasa di dalam JPPOBG adalah semua Penyelaras Jawatankuasa Kecil yang dilantik. Ketua Kepakaran O&G Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil  Latihan Subkepakaran yang dilantik oleh MMC juga akan dijemput untuk menjadi sebahagian dari ahli JPPOBG. 

Penyelaras Jawatankuasa Kecil yang dilantik akan memegang jawatan selama 2 tahun yang dianggap 1 penggal dan boleh dipertimbangkan untuk menyambung kepada penggal berikutnya jika menunjukkan prestasi yang baik. Umumnya, tempoh maksimum seseorang Penyelaras jawatankuasa kecil JPPOBG adalah 6 tahun.

Setiap Penyelaras akan diberi tanggungjawab untuk mencadang, merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti di bawah jawatankuasa kecil masing-masing berdasarkan kepada terma rujukan yang ditetapkan.



JAWATANKUASA KECIL JPPOBG (SUBCOMITTEE JPPOBG)

Tujuan penubuhan jawatankuasa kecil JPPOBG ini adalah untuk memastikan perkhidmatan O&G kebangsaan dapat dilaksanakan dengan sistematik dan menyeluruh berpandukan kepada terma rujukan JPPOBG. Melalui pembahagian kuasa dan tanggungjawab ini maka diharap setiap jawatankuasa kecil ini dapat berperanan pada tahap yang maksima bagi setiap fungsi yang telah ditetapkan. 

Penyelaras Jawatankuasa Kecil boleh dipilih daripada mana-mana pakar yang berkemampuan dengan mengambilkira wakil dari setiap zon termasuklah Sabah dan Sarawak. Lantikan Ahli Jawatankuasa Kecil adalah daripada Pengerusi JPPOBG. 

Bilangan ahli di dalam jawatan kecil ini dicadangkan tidak lebih daripada 5 orang. Terdapat 15 jawatankuasa kecil termasuk setiap subkepakaran dan setiap jawatankuasa kecil ini telah ditetapkan objektif dan terma-terma rujukannya seperti di bawah.



Sila muat turun dokumen penuh untuk perincian selanjutnya